Source: http://www.amronbadriza.com/2012/10/cara-membuat-anti-copy-paste-di-blog.html#ixzz2Mr2oh9Rk
Selamat datang di Andy blogspot.com

Selawat

Selasa, 05 Maret 20130 komentar




‘Selawat’ (صلوات) adalah jamak dari kalimat solat bererti doa atau seruan kepada Allah SWT. Di segi bahasa pula, selawat bermaksud mendoakan atau memohon berkat kepada Allah SWT dan melimpahkan Rahmat-Nya untuk Nabi dengan ucapan, kenyataan dan pengharapan, semoga beliau (Nabi) sentiasa sejahtera (beruntung, tak kurang suatu apapun, keadaannya tetap baik dan sihat).
.
Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW juga bermaksud memperbesarkan, mengagungkan, menambahkan kehormatan dan kepujian serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur sebagai penyampai utusan-Nya yang menjadi rahmat seluruh alam, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.
Nabi Muhammad SAW bersabda;  “Doa seseorang itu akan terawang-awangan dan tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepadaku.”
.
.

Mengucap Salam Kepada Nabi

Salam pula bererti damai, sejahtera, aman sentosa dan selamat. Jadi ketika seseorang muslim membaca selawat untuk Nabi, bermaksud ia mendoakan Baginda SAW semoga tetap damai, sejahtera, aman sentosa dan selalu mendapatkan keselamatan.
a. Allah SWT memberi salam kepada setiap orang yang memberi salam kepada Nabi SAW.
Rasulullah SAW telah bersabda: “Saya berjumpa Jibril, maka dia berkata: ‘Sesungguhnya saya memberi khabar gembira kepadamu bahwa sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman: ‘Sesiapa memberi salam kepadamu, maka Aku memberi salam kepadanya dan sesiapa membaca selawat untukmu, maka Aku membaca selawat untuknya ‘.”
b. Mengucap salam kepada Nabi SAW, lebih utama daripada memerdekakan budak.
Abu Bakar As-Siddiq r.a. berkata: “Membaca selawat untuk Nabi itu boleh menghapuskan dosa-dosa, seperti air sejuk memadamkan api, dan salam kepada Nabi itu lebih utama daripada memerdekakan budak”. Nabi SAW., Bersabda: “Sesiapa membaca selawat untuk ku satu kali, maka dia menjadi tidak berdosa walaupun sebesar atom dan biji sawi.”
c. Sesiapa yang membaca salam untuk Nabi 100 kali setiap hari, akan dikabulkan oleh Allah 100 hajat. 30 diberikan di dunia dan 70 diberikan di akhirat.
Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai tujuh puluh malaikat yang selalu berjalan di muka bumi serta menyampaikan kepadaku salam dari umatku. Maka, apabila ada seseorang dari umatku membaca selawat untukku seratus kali dalam sehari, maka Allah Ta’ala akan akan mengabulkan seratus macam hajatnya, tujuh puluh diberikan diakhirat dan tiga puluh di dunia.”
.
.

Keutamaan dan Kebesaran Selawat

Setiap umat Islam berkewajipan mengasihi atau mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bukti seseorang itu berbuat demikian ialah dengan mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Selawat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan ibadah yang mulia dan terpuji. la mengandungi berbagai-bagai kelebihan dan keistimewaan bagi mendapatkan pertolongan dan perlindungan dari Nabi Muhammad SAW serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.
“Sesiapa yang berselawat kepadaku (Muhammad SAW) satu kali saja, maka aku akan berselawat kepadanya sepuluh kali”
.
.

Hukum berselawat

Hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib ketika:
1.  Mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua / tahiyyat akhir.
4.  Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
 .
.

Arahan Membaca Selawat

Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Ini bermakna membaca selawat itu lebih utama.
.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi(1). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya(2).”  (Surah Al-Ahzab: 56).
Nota; (1) Berselawat ertinya: kalau dari Allah bererti memberi rahmat: dari malaikat bererti meminta keampunan dan kalau dari orang-orang yang beriman bererti berdoa supaya diberi rahmat seperti dengan perkataan: Allahuma shalli ala Muhammad. (2) dengan mengucapkan perkataan seperti: Assalamu’alaika ayyuhan nabi ertinya: semoga keselamatan tercurah kepadamu hai Nabi.
.
.

Membaca Selawat

Lafaznya selawat ke atas Nabi SAW, cukup mudah, tidak mengambil masa yang panjang. Sebagai tanda kasihnya Allah kepada umatnya supaya mampu mengerjakan amal mulia dan memperoleh ganjaran daripadanya.
1. Membaca Selawat harus disertai dengan niat dan dengan sikap hormat kepada Nabi. Orang yang membaca selawat untuk Nabi hendaklah disertai dengan niat dan rasa cinta kepada Nabi dengan tujuan untuk memuliakan dan menghormati Baginda.
Dalam penjelasan hadis (akhbar al-hadis) disebutkan bahawa apabila seseorang membaca selawat tidak disertai dengan niat dan perasaan hormat kepada Nabi, maka timbangannya tidak lebih, hanya berat sekadar sehelai bulu sayap.
Rasulullah SAW bersabda“Sesungguhnya sahnya amal itu tergantung niatnya”.
.
Ada tiga perkara yang timbangannya tidak lebih berat dari pada selembar bulu sayap, iaitu:
  1. Solat yang tidak disertai dengan tunduk dan khusyuk.
  2. Zikir dengan tidak sedar. Allah SWT tidak akan menerima amal orang yang hatinya tidak sedar.
  3. Membaca Selawat untuk Nabi Muhammad SAW tidak disertai dengan niat dan rasa hormat.
Rasulullah SAW bersabda: “Dan kalau kamu membaca selawat, maka bacalah dengan penuh penghormatan untuk ku.”
.
2. Membaca selawat bertujuan untuk mencintai dan memuliakan Rasulullah SAW. Siti Aisyah ra. berkata: “Sesiapa cinta kepada Allah Taala, maka dia banyak menyebutnya dan hasilnya ialah Allah akan mengingati dia, juga memberi rahmat dan keampunan kepadanya, serta memasukkannya ke syurga bersama para Nabi dan para wali. Dan Allah memberi kehormatan juga kepadanya dengan melihat keindahan-Nya. Dan sesiapa cinta kepada Rasulullah SAW maka hendaklah ia banyak membaca selawat untuk Nabi SAW, dan hasilnya ialah ia akan mendapat syafaat dan akan bersama Rasulullah SAW di syurga.”
.
Seterusnya Rasulullah SAW bersabda“Sesiapa membaca selawat untukku kerana memuliakan, maka Allah Ta’ala menciptakan dari kalimat (selawat) itu satu malaikat yang mempunyai dua sayap, yang satu di timur dan satu lagi di barat. Sedangkan kedua-dua kakinya di bawah bumi sedangkan lehernya memanjang sampai ke Arasy. Allah Ta’ala berfirman kepadanya: “Bacalah selawat untuk hamba-Ku, sebagaimana dia telah membaca selawat untuk Nabi-Ku. Maka Malaikat pun membaca selawat untuknya sampai hari kiamat.”
.
.

Cara Membaca Selawat

Disunatkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW:
  1. Menggunakan kata-kata beradab dan sopan,
  2. Menzahirkan sifat kemuliaan Nabi Muhammad SAW, keagungan darjat, kehormatan dan kebaikkan budi serta jasa Rasulullah SAW.
  3. Paling afdal, berselawat seperti ketika tahiyyat dalam solat.

اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍٍ وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ كَمَا بَارِكَتْ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد

Ya Allah! Berilah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau telah member shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan berilah berkat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Di dalam alam semesta ini hanya Dikau sahajalah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia!
.
.
Allaahumma shalli ‘alaa Muhammadin wa’alaa aali Muhammadin, kamaa shallaita ‘alaa Ibraahim wa’alaa aali Ibrahim, wa baarik ‘alaa Muhammadin wa’alaa aali Muhammadin,, kama baarakta ‘alaa Ibrahiima wa’alaa aali Ibraahima, fil ‘aalamiina innaka hamiidun majiid.
.
.

Jenis-Jenis Selawat

Terdapat berbagai jenis selawat susunan para ulama dan antara lafaz selawat yang baik diamalkan adalah:
1)     Selawat Ibrahimiyah.
2)     Selawat Tafrijiyah.
3)     Selawat Munjiyah
4)     Selawat Ummi
5)     Selawat Fatih
6)     Selawat Syifa’.
7)     Selawat Syafaat.
8)     Selawat Badriyah
9)     Selawat kebajikan.
10) Selawat menolak kecelakaan.
11) Selawat untuk Nabi SAW dan keluarganya.
.
.

Bencana Tidak Berselawat

Mereka yang tidak berselawat adalah orang yang paling kedekut dan akan;
  1. Dijauhkan dari rahmat Allah.
  2. Mendapat kehinaan yang memalukan.
  3. Setiasa mengalami kerugian dan penyesalan.
  4. Termasuk kalangan yang mendapat kesusahan.
  5. Mengalami kebingungan di hari kiamat.
  6. Mengalami kesukaran di Padang Mahsyar.
  7. Menjadi ahli neraka.
Nabi Muhammad SAW. Bersabda;  “Doa seseorang itu akan terawang-awangan dan tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepadaku.”
.
.

Waktu Afdal Berselawat

Masa paling afdal dituntut berselawat
  1. Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
  2. Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
  3. Sesudah tasyahud wuduk, sebelum membaca doa.
  4. Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
  5. Di akhir qunut dalam solat.
  6. Di dalam solat jenazah.
  7. Di antara takbir solat hari raya.
  8. Ketika masuk dan keluar dari masjid.
  9. Setiap waktu pagi dan petang.
  10. Hari Khamis malam Jumaat,
  11. Sepanjang hari Jumaat,
  12. Ketika telinga berdesing.
  13. Ketika terlupa sesuatu perkara.
  14. Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan.
  15. Ketika memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting.
  16. Masa menghadiri  tempat perhimpunan yang baik.
  17. Waktu meninggalkan sesuatu majlis.
  18. Ketika berziarah di makam Rasulullah SAW.
.
.

Fadilat Berselawat

  1. Allah limpahkan rahmat berkali ganda.
  2. Allah menghapuskan dosa dan menutupkan aib.
  3. Menghilangkan kesusahan dan meluaskan rezeki.
  4. Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa.
  5. Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati.
  6. Terselamat daripada keburukan yang menimpa orang yang tidak berselawat.
  7. Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan langt.
  8. Memperolehi doa malaikat selama sedang berselawat.
  9. Beroleh syafaat yang khusus daripada Rasulullah SAW pada hari akhirat.
  10. Dapat sentiasa berada bersama Rasulullah SAW pada hari akhirat kelak.
  11. Jaminan terpelihara dan terselamat dari segala perkara yang mendukacitakan dan membimbangkan di dunia dan akhirat.
  12. Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari di Padang Mahsyar.
  13. Meneguhkan tapak kaki ketika melalui Titian Siratul Mustaqim.
.
.

Keberkatan Dan Kelebihan Berselawat

1.   Para Malaikat berjanji,  sesiapa yang membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap hari sebanyak 10 kali:
  1. Jibril akan membimbing tangan bawa melintasi titian seperti kilat menyambar.
  2. Mikail akan memberi minum dari telaga Rasulullah SAW.
  3. Israfil akan sujud kepada Allah dan tidak akan mengangkat kepalanya sehingga Allah mengampuni orang itu.
  4. Malaikat Izrail akan mencabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti mencabut roh nabi-nabi bila mati kelak.
.
.
2.   Dalam beberapa hadis, sabda Rasulullah SAW:
a.  Sesiapa membaca selawat untukku sekali saja dengan tulus ikhlas dari hatinya, maka Allah akan memberi 10 rahmat kepadanya serta diangkat ke 10 tingkat dan diampunkan 10 dosa.
b.  Sesiapa berselawat 11 kali setiap lepas solat fardu, segala dosa kecilnya diampuni Allah serta tenteram hati dan jiwanya.
c.  Sesiapa membaca selawat kepadaku 100 kali sehari, maka Allah akan menyampaikan100 hajatnya iaitu 70 hajat akhirat dan 30  lagi hajat dunia.
d.  Sesiapa berselawat ke atasku pada Jumaat sebanyak 80 kali, diampunkan baginyadosa selama 80 tahun.

Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkanlah amalan berselawat ke atasku kerana selawat kamu itu disampaikan terus kepada ku.”
.
.
3. Antara hadis-hadis lain yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah SAW ialah:
  1. “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. “ (Riwayat Tabrani).
.
  1. “Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.”  (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim)
 .
  1. “Sesiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali.  Dan sesiapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka.  Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid.” [Riwayat At-tabrani].
 .
  1. ” Sesiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku, maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).
 .
  1. “Sesungguhnya orang yang dekat kepadaku daripada kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat aku berada ialah orang yang lebih banyak berselawat kepadaku di dunia.”
.
.

Hikmah Berselawat ke atas Rasulullah SAW

  1. Berasa lebih mencintai Rasulullah SAW.
  2. Menjadi zakat dan pembersih diri.
  3. Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah SWT.
  4. Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah.
  5. Para malaikat memberi jaminan keistimewaan masing-masing.
  6. Ganjaran yang diberikan bukan saja di dunia, malah di akhirat.
  7. Menyedari betapa besarnya pahala orang yang berdoa dan berselawat ke atas Nabi.
  8. Sebagai mengenang semula budi dan jasa baik Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berusaha mengajak manusia ke arah kebaikan, walaupun Baginda SAW sudah wafat.
.
Rasulullah SAW bersabda: “Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafaku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan ‘Alhamdulillah’, dan apa saja amal kamu yang jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu.”    (Riwayat Ibni Mas’ud)
.
.
Bayangkanlah betapa beruntungnya orang yang mendapat ucapan salawat dan begitu banyak manfaat daripada Allah Subhanahu Wataala disebabkan amalan bersalawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Share this article :

Posting Komentar

Diberdayakan oleh Blogger.

FACEBOOK: ANDY WRONG WAY

 
Support : andy wrong way | Creating Website | andy Template | andy | Pusat Promosi
Copyright © 2011. Andy Blogspot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by andy
Proudly powered by Blogger